Profil Pengasas Maahad Tahfiz An Nabawi
Ustaz Ahmad Dusuki bin Abdul Rani
Ustaz Ahmad Dusuki bin Abdul Rani (lahir 7 Februari 1976) adalah seorang pendakwah, penceramah agama dan pengasas Yayasan An -Nabawi iaitu satu organisasi yang menguruskan Pendidikan, Dakwah dan Kebajikan sesama Muslim tanpa sempadan.
Latar belakang dan keluarga
Ahmad Dusuki dilahirkan di Jerantut, Pahang. Ibunya bernama Nik Khadijah Nik Mat, yang merupakan adik kepada Tuan Guru Dato’ Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat, bekas Menteri Besar Kelantan. Beliau mempunyai pertalian sepupu dengan beberapa pemimpin PAS iaitu Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man, Timbalan Presiden PAS; Nik Muhamad Abduh Nik Abdul Aziz, dan Nik Muhammad Zawawi Salleh
Pendidikan
Beliau mula mendapat pendidikan awal rendah di Sekolah Kebangsaan Damak, Jerantut, Pahang dan sekolah menengah di Maahad Darul Anuar Kota Bharu dan Maahad Muhamaadi Lelaki Kota Bharu. Beliau melanjutkan pengajian di Universiti Al-Azhar Mesir dalam bidang Syariah dan Undang-undang syukbah Islamiah pada 1995 hingga 1999
Kerjaya
Sebelum melanjutkan pengajian di Mesir, beliau pernah menjadi guru sandaran di Sekolah Kebangsaan Taman Midah Cheras (1994-1995) dan Sekolah Menengah Agama Batu 10 Cheras (1995). Sekembalinya dari Mesir, beliau bertugas sebagai pensyarah di Kolej Sistematik (2000-2004). Belau sering dijemput menjadi penceramah radio Selangor FM bagi rancangan Suara Mimbar (2001), dan radio Nasional FM rancangan Dinamik, Fiqhul Sirrah (2002). Beliau juga menjadi tenaga pengajar Persatuan Orang Pencen (POP) Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Selangor (2000 sehingga kini) selain mengajar di masjid-masjid, surau, dan jabatan-jabatan kerajaan serta swasta di negeri Selangor, Perak, Johor, Pahang, Kedah, Perlis dan kawasan sekitar.
Kemasyarakatan
Ahmad Dusuki juga aktif dalam kegiatan badan bukan kerajaan (NGO) serta pernah membuka Rumah Kebajikan Anak Yatim dan Miskin Al-Munirah di Kampung Johan Setia, Klang, Selangor. Beliau menjadi penasihat rumah tersebut dari tahun 2003 hingga 2011.
Selain itu, beliau juga mengendalikan Maahad Tahfiz Al-Azhari di Kampung Pangkal Chuit, Machang, Kelantan; Sekolah Tahfiz Annabawi untuk pelajar perempuan di Kampung Durian Bulat, Pulau Langkawi dan sekolah tahfiz untuk pelajar lelaki di Kampung Ewa, Pulau Langkawi yang mula beroperasi pada Jun 2015.
Beliau juga membantu umat Islam di Yala, Thailand dengan membina maahad tahfiz untuk anak yatim yang kehilangan bapa akibat pertumpahan darah dalam keganasan di negara berkenaan. Dia juga aktif sebagai ahli jawatankuasa dalam Muslim Care yang antara aktiviti badan berkenaan ialah membeli bangunan untuk dijadikan masjid di Poland.
Perubatan dan Rawatan Islam
Beliau adalah Timbalan Presiden Gabungan Pengamal Perubatan Islam Malaysia (GAPPIMA) hingga ke hari ini.
Pada tahun 2012, dengan bantuan daripada wakaf orang ramai, beliau membeli sebuah rumah pada harga RM2 juta di Seksyen 8, Shah Alam yang kini dikenali sebagai Kompleks Darul Thibbun Nabawi. Kompleks itu menempatkan sekolah tahfiz yang memuatkan 150 pelajar serta pusat rawatan Islam yang menyediakan perkhidmatan secara percuma bagi mengelak orang ramai terbabit dalam kegiatan syirik.
Pengktirafan
Tokoh Pendakwah sempena Hari Anak Muda Kelantan – 15 Februari 2019
Tokoh Ikon Dakwah YADIM 2020
Penulisan
- Ahmad Dusuki Abdul Rani (2019). Fal Yafrahu: Maka Bergembiralah. Karya Bestari. ISBN 9789678609296.
- Ahmad Dusuki Abdul Rani (Oktober 2019). Syurga, Ganjaran Terindah. Galeri Ilmu. ISBN 9789830978536.
- Ahmad Dusuki Abdul Rani (Jun 2019). Terhumban Ke Kawah Neraka. Galeri Ilmu. ISBN 9789830978192.
- Ahmad Dusuki Abdul Rani (2018). Mau’Izhah Hasanah #4: Talian Hayat Di Barzakh. Galeri Ilmu. ISBN 9789830977133.
- Ahmad Dusuki Abdul Rani (April 2018). Komik Daurah – Alam Barzakh. Telaga Biru Sdn Bhd. ISBN 978-967-388-378-3.
- Ahmad Dusuki Abdul Rani (2017). Tour De Jannah 2.0 : Berlari Ke Syurga. Galeri Ilmu. ISBN 9789830976365.
- Ahmad Dusuki Abdul Rani (2017). Mau’izhah Hasanah #3: Khabar Dari Barzakh. Galeri Ilmu. ISBN 9789830976693.
- Ahmad Dusuki Abdul Rani (Februari 2017). Nota Ajal Seorang Mukmin. Karya Bestari. ISBN 9789678607728.
- Ahmad Dusuki Abdul Rani (Januari 2017). Mau’izhah Hasanah #2: Teman Di Barzakh. Galeri Ilmu. ISBN 9789830976242.
- Ahmad Dusuki Abdul Rani; Mohd Khairi Ismail; Nik Ahmad Shafie Raja Daud (Mei 2017). Duhai Hati, Berbahagialah!. PTS Publications. ISBN 9789674810429.
- Zulkifli Mohamad Al-Bakri; Ahmad Dusuki Abd Rani; Syed Norhisham Tuan Padang; Harryanto Rizal Rokman; Imam Muda Hafiz (Januari 2017). Nurulhuda (penyunting). Bila Ustaz Dah Payung. Karya Bestari.
- Ahmad Dusuki Abdul Rani (2016). Mau’izhah Hasanah: Malam Pertama Di Barzakh. Galeri Ilmu. ISBN 9789830976105.
- Ahmad Dusuki Abdul Rani (2016). Tour De Jannah. Galeri Ilmu. ISBN 9789830975887.
- Ahmad Dusuki Abdul Rani; Syed Abdul Kadir Aljoofre (2016). #DEEP: 100 Status Sebelum Mati. Nur El-Hikmah. ISBN 9789671337721.
- Ahmad Dusuki Abdul Rani (2015). Mohonlah Redha Ilahi. Karya Bestari. ISBN 9789678606325.